IPOH: Kerajaan Negeri Perak mempertimbangkan pemakaian kamera badan kepada semua penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat operasi, awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu itu akan melibatkan mereka yang menjalankan penguatkuasaan termasuk operasi penangkapan haiwan jalanan, lawatan semakan lesen perniagaan dan pemantauan isu sampah haram.

"Ini bertujuan meningkatkan tahap ketelusan dengan memastikan hak dan kepentingan antara penguatkuasa dan masyarakat terlindung, dan pembuktian rakaman akan membantu jika berlaku sebarang isu semasa proses penguatkuasaan," katanya pada sidang media, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, ketika ini kajian terperinci sedang dilakukan berhubung kos dan peruntukan sama ada dapat disalurkan oleh kerajaan negeri atau diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan berikutan kelengkapan teknologi itu boleh didapati dalam harga yang mampu disediakan bagi kesemua 15 PBT yang terdapat di Perak.

Katanya, penguatkuasaan SOP baharu itu tidak melibatkan pindaan akta dan garis panduan mengenai data privasi pengguna juga akan ditetapkan sebelum penggunaannya bermula, dan dijangka selesai sebelum suku pertama tahun hadapan.

Sementara itu, Sandrea menafikan dakwaan bahawa anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menangkap anjing dengan mencekik leher tanpa menggunakan jaring dalam Operasi Tangkapan Anjing di sekitar kawasan Lahat Mines di sini seperti tular di laman Facebook baru-baru ini.

Beliau berkata, tangkapan anjing di dalam 'distres' itu adalah berdasarkan kuasa yang termaktub di dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan proses membuat tangkapan berkenaan dilakukan mengikut prosedur menggunakan penyauk berjaring dan gelung penjerut.

Menurutnya, sehingga Oktober lepas, pihak MBI telah menerima 1,393 aduan berkaitan anjing jalanan dan daripada aduan itu 1,211 ekor anjing jalanan telah ditangkap.

"Kerajaan Perak melalui Jawatankuasa Haiwan Jalanan sedang merangka pelan tindakan bagi menyelesaikan aduan berkaitan anjing jalanan hingga mendatangkan kebimbangan dan kecederaan kepada masyarakat.

"Penyelesaian jangka pendek akan diambil dengan memfokuskan dari sudut penguatkuasaan dan kempen kesedaran. Bagi jangka panjang pula, kita akan lihat sistem pelesenan yang perlu diperketatkan kerana kita mahu pemilik haiwan peliharaan ini lebih bertanggungjawab," katanya. - BERNAMA